POLEMIK mengenai pemakaian dan penerbitan bahasa rojak (saya lebih mesra memanggil bahasa klon), nampaknya semakin mengelirukan.  Tidak ada kesudahan dan perdebatan mengenainya jadi berjela-jela.  Mungkin satu forum khas untuk mencapai konsensus mengenai perkara ini perlu diadakan segera.

Ia mengelirukan apabila ada pro dan kontra ? puak menyokong dan puak yang menentangnya.  Apa lagi individu yang mewakili puak itu adalah orang yang pakar dalam ilmu persuratan serta ilmu bahasa! Situasi ini menjadi tambah mengelirukan, sebab fikiran dan pandangan mereka selalunya dijadikan rujukan dan panduan.

Apa yang membimbangkan polemik ini akan terheret ke dalam institusi lain seperti pendidikan, kebudayaan, politik dan sebagainya yang boleh pula mempengaruhi pemikiran umum.

Pihak yang merasakan perkara itu perlu, berpendapat `pengklonan? bahasa bukan satu kesalahan. Malahan bagi mereka ia adalah wajar.  Hujan mereka bahasa harus berkembang dan dinamik mengikut arus semasa.  Dalam erti kata lain, kepada mereka bahasa juga hidup seperti bidang lain yang memerlukan evolusi dan penyesuaian semasa.

Di sini pihak yang membenarkannya lebih melihat kepada keperluan bahasa untuk tujuan komersial bukannya atas prinsip bahasa itu sebagai lambang dana maruah sesuatu bangsa.

Mereka tidak peduli kepada maruah bangsa yang dilambangkan oleh bahasa.  Dari satu sudut mereka adalah orang yang `merendah? diri kepada bahasa sendiri dan meletakkan bahasa lain lebih tinggi.

Pada saya mereka ini adalah orang terlupa dan jahil akan kepentingan  keaslian bahasa serta secara tidak langsung mereka sebenarnya merasa rendah diri kepada bahasa sendiri.  Mereka lebih memuja dan mudah tunduk kepada bahasa lain.  Justeru mereka melakukan `pengklonan? agar tidak dilihat sebagai tidak kekampungan dan bertaraf antarabangsa!?

Sementara di pihak yang menentangnya pula, berdiri di atas semangat bahasa yang tidak boleh diubah sewemang-wenangnya.  Pihak ini mempertahankan roh bahasa dan ketulenannya itu tidak boleh diganggu gugat kerana ia adalah roh kepada sesuatu bangsa itu.  Mereka ini adalah pengunjung bahasa dan budaya dan menerimanya sebagai elemen penting dalam ketamadunan sesuatu bangsa.

Pihak ini sangat bimbang dengan fenomena proses penyesuaian itu.  Ia boleh merosakkan ketulenan bahasa dan inti pati ketamadunan itu.  Juga dibimbangi penyebaran bahasa klin meluas dalam media massa boleh mempengaruhi pemikiran umum.

Bagi meneguhkan keyakinan, mereka menafikan kemajuan sesuatu bangsa itu tidak semestinya ada pengklonan bahasa ataupun menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Mereka memberi contoh, bangsa Perancis, Jerman, Korea dan Jepun, adalah bangsa yang maju bersama bahasa ibunda masing-masing tanpa mengambil bahasa Inggeris sebagai medium utama komunikasi.  Bangsa-bangsa ini ternyata mempunyai kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi.

Dalam hal ini saya cuba berdiri di tengah-tengah.  Pada saya kedua-dua pihak dan kebenaran tersendiri.  Bahasa sebagai alat penutur (komunikasi) tidak perlukan kepada ketulenan dan mempedulikan kepada rohnya.

Mungkin ia perlu dinamik dan berkembang seperti juga makanan, fesyen dan sebagainya.  Yang penting komunikasi kita itu berkesan dan mudah difaham.  Matlamat bahasa ialah untuk menyatakan mesej dan maksud.

Lantaran itu bagi mereka tidak mengira apakah bahasa yang mereka gunakan itu betul atau tepat, janji mereka untuk dan laba besar.

Cuma apa yang ingin saya ajukan dalam mengizinkannya sejauh mana kita dapat jamin (berkemampuan) untuk mengawalnya, apabila kita memberi ruang untuknya bergerak atau hidup kelak?

Suka tidak suka kita kena mengakui kelemahan kita.  Kita bangsa yang lemah dan mudah lena dan larut dalam sesuatu `paradigma?.  Kalau tidak ada kawalan akan hanyut dan ini akan menyuburkan proses pengklonan.  Inilah yang ditakuti oleh penegak atau pejuang keaslian bahasa itu.

Bila itu berlaku, waktu inilah bahasa sebagai rupa diri dan identiti, akan jadi kabur.  Sedangkan kita harus ingat kekuatan sesuatu bangsa itu terletak kepada bahasa dan budaya.

Kalau budaya sudah tidak ada, bahasa sudah hanyut, maka orang tidak lagi akan kenal bangsa itu.  Apakah kita mahu diketahui sebagai kelompok manusia yang tidak ada rupa diri atau pengenalan diri?

Dalam konteks sejarah dan tamadun bangsa kita, apa yang perlu diinsafi dengan mengetepikan segala syarat wajib kepada penjelmaan identiti bangsa itu, apakah ketika itu nanti kita mampu untuk mengotakan kata-kata Hang Tuah ?tidak akan hilang Melayu di dunia??

Sebagai jalan tengah walaupun polemik ini bukan masalah global waktu ini, tetapi ia perlu diberikan tumpuan sewajarnya.

Pihak berwajib, Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP) khasnya, bersama Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dan lain-lain mengambil inisiatif dan duduk semeja bagi menyelesaikannya.

Isu ini perlu diselaraskan segera dan jangan ia hanya dibincangkan  apabila timbul soal yang berkaitan.  Cara itu tidak akan menemui penyelesaian tuntas dan ia hanya membosankan dan membuang masa sahaja.

Kita harus mencapai kata sepakat yang konkrit tentangnya.  Apakah kita mahu membenarkan atau tidak?

Kaji Kesan dan implikasinya kepada perkembangan bahasa ibunda kita pada jangka masa panjang.  Selepas kita mengambil keputusan demikian maka semua pihak hendaklah mematuhi dan menghormatinya. ? MOHD. SAYUTI OMAR, Kuala Lumpur.



    (Sumber : Utusan Malaysia   (30/09/2004) )
9/26/2012 12:13:02 pm

THX for info

Reply



Leave a Reply.