KERAJAAN negeri Terengganu memperkenalkan Anugerah Tokoh Nilam Guru kepada pendidik yang berkhidmat di negeri ini yang diakui banyak membaca serta aktif dalam kegiatan ilmuan hingga ke peringkat antarabangsa.

Anugerah itu diilhamkan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, dan Sumber Manusia Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said ketika merasmikan Hari Guru Terengganu di Universiti Darul Iman baru-baru ini berkata, Terengganu negeri pertama memperkenalkan anugerah itu dan matlamatnya meningkatkan kadar pembacaan dalam kalangan guru.

“Penyertaan terbuka kepada semua guru yang berkhidmat di negeri ini dan mereka melalui beberapa saringan yang rapi serta dinilai oleh panel profesional dari dalam dan luar Terengganu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Seramai 1,600 guru pelbagai peringkat serta jemputan khas telah menghadiri majlis yang diadakan di sini.

Menurut Ahmad, anugerah itu juga adalah satu penghargaan kepada lebih 21,00 orang guru di Terengganu atas sumbangan dan dedikasi mendidik pelajar bagi mencapai hasrat menjadikan negeri itu sebagai Anjung Ilmu.

Beliau juga berjanji kerajaan negeri akan sentiasa memberi sumbangan dan insentif bagi menghargai jasa dan sumbangan guru.

Sementara itu, pemenang pertama anugerah tersebut, Alias Ismail, 42, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jenderis, Hulu Terengganu berkata, beliau bangga dan bersyukur ke hadrat Ilahi atas pemilihan berkenaan.

“Ini pengiktirafan terbesar kepada guru yang rajin membaca. Sudah tentu saya sangat berterima kasih kepada Kerajaan Terengganu,” katanya yang telah membaca lebih 2,100 buah buku dalam tempoh 35 tahun sejak berusia 6 tahun.

Menurutnya, secara purata beliau membaca 60 buah buku setahun tanpa mengira ketebalan, iaitu 5 buah buku sebulan atau sebuah buku dalam masa enam hari.

Katanya, sebahagian buku tersebut dipinjam daripada perpustakaan dan rakan-rakan, dan sebahagiannya merupakan buku yang dibeli pada pesta buku pada musim tertentu atau dibeli di kedai buku dalam dan luar negara.

Sehingga kini beliau merupakan ahli Perpustakaan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Perpustakaan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Perpustakaan Desa, Perpustakaan Daerah, Perpustakaan Negeri, dan Perpustakaan Negara.

7/12/2012 12:02:52 am

will return before long

Reply



Leave a Reply.